Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing menyampaikan surat tuntutan rasmi kepada Borneo Post Sdn Bhd dan Borneo Post Online Sdn Bhd supaya memohon maaf kepada beliau berhubung laporan berita yang didakwa tersilap memetik kata-katanya bahawa kerajaan negeri perlu "menggunakan kesemua" rezabnya berjumlah RM31 bilion sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Masing, yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata mereka mempunyai masa tujuh hari untuk memohon maaf dan jika gagal berbuat demikian, pihaknya tiada pilihan selain menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang seterusnya.

Peguam Allan Lao, yang mewakili Masing, berkata setakat ini belum ada respons daripada Borneo Post dan Borneo Post Online berhubung surut itu.

"Saya dimaklumkan oleh peguam saya bahawa saya mempunyai alasan kukuh untuk mengambil tindakan terhadap syarikat penerbitan itu berkaitan fitnah," kata Masing dalam kenyataan yang diedar kepada pemberita pada sidang media yang dihadiri Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum dan Lao serta beberapa anggota Dewan Tertinggi PRS.

Masing tidak hadir pada sidang media itu.

Beliau berkata 'preview blurb' digunakan Borneo Post Online diambil secara di luar konteks dan/atau telah tersalah petik kenyataannya dan daripada sepatutnya membuat laporan berdasarkan fakta, syarikat penerbitan itu memilih untuk menggunakan 'preview blurb' "Should Sarawak use up all its reserved before the next state election?" yang beliau dakwa menonjolkan yang beliau mencadangkan agar rezab negeri Sarawak "digunakan kesemuanya" sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Kata Masing, beliau menjelaskan bahawa ucapan beliau semasa majlis jamuan malam parti itu pada 17 Jun telah disalah petik dan diambil di luar konteks serta menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan agar "kesemua rezab negeri digunakan" sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata preview blurb itu secara sengaja merujuk kepada satu laporan berita disiarkan Borneo Post pada 19 Jun tahun ini berkaitan ucapannya pada majlis jamuan malam itu

Menurut Masing, 'preview blurb' asal dengan perkataan "use up all" disiarkan dalam laman Facebook/garis masa syarikat penerbitan itu bagi memastikan ia ketara dan terpamer secara maksimum kepada pelawat Facebooknya.

"Saya telah cuba memberi penjelasan bahawa teks ucapan saya telah diambil di luar daripada konteks. Saya menawarkan untuk memberi teks ucapan saya untuk dijadikan panduan bagi struktur ucapan saya pada malam 17 Jun kepada beberapa anggota media yang menemu bual saya berhubung perkara sama.

"Selepas itu, preview blurb asal pada laman Facebook syarikat penerbitan itu dipinda kepada "Should Sarawak use its RM31b reserve for developments before the next state election" dan syarikat penerbitan berkenaan memadam dua perkataan iaitu 'up all' yang menukar maknanya kepada kesemuanya," kata Masing.

Masing berkata pada 20 Jun, satu artikel dengan tajuk "Have the media misquoted Masing?" juga diterbitkan dan beliau mendakwa syarikat penerbitan berkenaan menyatakan beliau telah menyimpang daripada teks ucapan sebenarnya dan menghidangkan kepada pembaca rakaman tidak lengkap iaitu hanya sebahagian daripada ucapan yang beliau sampaikan pada malam itu.

"Berdasaarkan rakaman yang ditawarkan penerbit berkenaan, saya tidak pernah menyebut atau mencadangkan agar kerajaan negeri 'menggunakan kesemua' rezabnya.

"Berdasarkan rakaman asal suara yang ada pada saya, ayat penting berikutnya yang saya ucapkan iaitu 'we have the money, but use that properly. Use the small project that have the greatest impact to our rural areas' tidak terdapat dalam rakaman penerbit berkenaan.

"Syarikat penerbitan itu mengaku bahawa ia menukar preview blurb asal kerana apabila berita itu mula tersiar dan kemudian menerima tindak balas daripada orang ramai, mereka sedar bahawa kebanyakan penulis komen membuat tafsiran bahawa preview blub mereka itu merupakan petikan kata-kata secara terus daripada saya.

"Saya tidak boleh terima alasan syarikat penerbitan itu bahawa preview blurb asal pada laman Facebooknya tidak dikaitkan dengan saya," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu terus menyiarkan reaksi tentang perkara berkenaan.

-- BERNAMA