Seluruh masjid di Pahang diminta mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok bagi memohon pertolongan agar musibah banjir yang sedang menimpa di beberapa negeri kembali pulih sepenuhnya.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, terdapat masjid yang telah mengadakan solat hajat secara berkala bagi tujuan itu.

"Saya mohon semua masjid di Pahang dapat melakukan solat hajat selepas solat Jumaat.

"Mudah-mudahan solat hajat yang dilakukan beramai-ramai secara serentak seluruh Pahang itu dapat dimakbulkan." katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau turut berharap mana-mana masjid yang sebelum ini telah mengadakan solat hajat agar dapat melakukannya secara berterusan bagi memohon dihindarkan daripada musibah banjir yang lebih teruk.

Katanya, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sebelum ini turut menitahkan supaya masjid-masjid di negeri itu untuk mengadakan solat hajat.

Setakat ini lebih 24,000 mangsa banjir daripada 6,398 keluarga di lapan daerah telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di seluruh Pahang.