Malaysia mahu masyarakat antarabangsa memainkan peranan lebih berani bagi melindungi dan mempertahan hak rakyat Palestin serta menamatkan pertumpahan darah di Gaza.

Pendirian itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Senat Amerika Syarikat, Ahli Republikan Tennessee Senator Bob Corker ketika menerima kunjungan Corker di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menyatakan pendirian tegas dan komitmen berterusan Malaysia dalam isu Palestin.

"Pendirian Malaysia untuk memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena kunjungan hormat tersebut.

Beliau berkata kerajaan dan rakyat negara ini menentang dan mengutuk serangan juga segala bentuk kezaliman, penindasan serta diskriminasi yang dilakukan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Malaysia turut menggesa agar Israel menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin di Gaza dan meminta Amerika Syarikat memainkan peranan lebih penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan berterusan di Gaza, katanya lagi.

Muhyiddin berkata Malaysia telah menuntut supaya Israel segera menghentikan pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata di Gaza.

Pertemuan kira-kira 45 minit itu turut menyentuh isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 serta MH17 yang terhempas di Ukraine, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), perkembangan di Laut China Selatan, serta susulan lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia pada April.