KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu berwaspada terhadap trend terkini jenayah siber melibatkan unsur-unsur 'scam' atau penipuan yang boleh menyebabkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kerugian membabitkan jenayah siber sering berkait rapat dengan angka kerugian yang besar berbanding kerugian jenayah harta benda terutama apabila kegiatan itu berselindung di sebalik pekerjaan.

Beliau berkata 511 kes jenayah penipuan dalam talian dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul tahun lepas membabitkan 251 kes e-dagang (belian dalam talian) diikuti 203 kes penipuan telekomunikasi (talian dan khidmat pesanan ringkas), scam 419 (penipuan cinta) 36 kes dan penipuan e-kewangan 21 kes.

"Keseluruhan kerugian bagi kesemua kes penipuan dalam talian yang dilaporkan sepanjang tahun lepas di IPD Sentul adalah berjumlah RM10,209,648," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beh berkata antara kejayaan terbaharu pihaknya adalah menumpaskan sindiket 'To Up Games' yang menjadikan unit kediaman di sebuah pangsapuri di Sentul sebagai pusat panggilan kegiatan itu, pada 13 Jan lepas.

Beliau berkata hasil serbuan itu, pihaknya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan dan siasatan mendapati mereka memperoleh sejumlah RM100,000 sebulan.

Menurut Beh, modus operandi sindiket seumpama itu adalah mempromosikan cara-cara mudah untuk memperoleh wang melalui pautan laman sesawang di laman sosial seperti Facebook dan WeChat untuk menarik perhatian khalayak umum.

Selain itu, jenayah siber juga dapat dilihat dalam bentuk pekerjaan yang melibatkan proses jual beli barangan dengan pemberian komisen oleh pihak tertentu.

"Pada permulaan, mangsa akan menerima komisen sebanyak 20 peratus daripada nilai barang yang dijual dan angka itu akan meningkat mengikut barangan sehingga boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

"Perkara ini membimbangkan apabila harga barangan yang dijual itu terlalu mahal dan mangsa tidak dapat mengambil semula wang mereka. Apabila dihubungi, pihak berkenaan hilang dan ini adalah satu daripada cara sindiket itu memperdayakan mangsa," katanya.

Beh berkata antara lain yang perlu diberi perhatian oleh orang awam mengenai jenayah dalam talian adalah panggilan palsu yang menyamar sebagai agensi tertentu termasuk melibatkan pihak berkuasa seperti polis.

"Sekiranya orang awam ada menerima panggilan mencurigakan, hentikan perbualan dan tutup telefon. Semak dahulu dengan ahli keluarga, kawan-kawan atau hubungi terus pihak polis kerana kami ada statistik bagi kes-kes begini untuk kami beri nasihat," katanya.

Beliau memaklumkan sindiket penipuan dalam talian turut melibatkan dalang dari luar negara yang berhubung melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan WeChat untuk berkomunikasi dengan ejen dan pekerja dalam negara.

"Penjenayah ada ilmu bagi kegiatan 'scam' ini kerana mereka mempunyai kenalan dari luar negara yang arif mengenai perkara berkenaan. Terdapat kes pekerja yang menguruskan pusat panggilan ditahan dan mereka tidak mengenali serta bertemu secara bersemuka dengan majikan mereka malah ada yang dibayar oleh orang tengah untuk menggerakkan sindiket itu," katanya.

Mengulas mengenai indeks jenayah di Sentul, Beh berkata kadar kes jenayah berkenaan menurun daripada 1,848 kes pada 2020 kepada 1,549 kes tahun lepas.

-- BERNAMA