MALAYSIA
Maszlee cadang KPM laksana lima langkah tangani isu buli

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan lima langkah termasuk mewujudkan Piagam Hak Murid Nasional bagi menangani isu buli di sekolah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan lima langkah termasuk mewujudkan Piagam Hak Murid Nasional bagi menangani isu buli di sekolah.
Ringkasan AI
- Maszlee Malik cadang KPM wujudkan Piagam Hak Murid Nasional untuk lindungi maruah, keselamatan dan hak pelajar.
- Minta pindaan Akta Pendidikan 1996, tubuhkan jawatankuasa pemantau, laksana program pencegahan serta bangunkan pangkalan data kes buli.
- Kes Zara Qairina dianggap isyarat kecemasan, KPM digesa bentang piagam di Parlimen sebelum akhir tahun.
"Program pencegahan dan intervensi termasuk kaunseling, pendidikan empati dan tindakan disiplin tegas juga perlu dilaksanakan selain membangunkan pangkalan data nasional kes buli juga.
"Tragedi arwah Zara Qairina di Papar, Sabah adalah 'panggilan kecemasan' untuk seluruh sistem pendidikan kita. Keselamatan murid bukan isu sampingan, ia amanah tertinggi yang wajib dijaga oleh KPM," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Maszlee berkata beberapa negara telah membuktikan keberanian mereka melindungi hak murid melalui undang-undang antaranya Korea Selatan menerusi Student Rights Ordinance sejak 2012, Finland (KiVa Anti-Bullying Programme), Kanada (Safe Schools Act) manakala di Jepun setiap insiden buli wajib dilaporkan ke pihak berkuasa pendidikan melalui sistem pusat yang telus.
"Tiada model yang sempurna di kesemua negara tersebut, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai langkah dan kerangka yang jelas dan holistik dalam menanggani isu buli di sekolah.
"Malaysia perlu membina versi sendiri dengan menggabungkan elemen terbaik dunia, dan disesuaikan dengan realiti tempatan serta dipantau secara berterusan," katanya.
Maszlee berkata lima langkah itu pernah cuba dilaksanakan melalui Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 untuk 2021, tetapi terhenti akibat perubahan kerajaan pada 2020.
KPM katanya perlu menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan dalam 90 hari dan membentangkan Piagam Hak Murid di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
Pada 17 Julai lepas, pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke hospital itu apabila dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami