KUANTAN: Seorang penganggur yang baharu sahaja dibebaskan daripada penjara, sekali lagi diberkas polis minggu lepas kerana disyaki mengetuai kumpulan mencuri motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata suspek berusia 33 tahun dikenali sebagai 'Mat Mata' itu dihukum penjara lapan bulan di sini kerana mencuri motosikal pada Februari lepas, selain perlu menjalani pengawasan polis selama setahun hingga Oktober 2024.

"Bagaimanapun, dia hanya melaporkan diri di balai polis di Bachok, Kelantan pada minggu pertama Oktober dan dipercayai pulang ke Kuantan sebelum terlibat dalam lapan kes kecurian motosikal, dua buah kereta dan sebuah van yang dilaporkan hilang bermula hujung bulan lepas.

"Selain Mat Mata, polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 22 hingga 33 tahun dipercayai anggota kumpulan itu pada serbuan 22 Nov lepas di sekitar Kuantan dan Pekan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata serbuan itu turut merampas sebuah van curi yang dipercayai digunakan bagi melakukan jenayah itu, enam motosikal termasuk sebuah telah dileraikan dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Jaya Gading di sini, namun ditemukan telah dibakar di tepi jalan di Pekan, dekat sini.

Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan motosikal di kawasan perumahan dan akan menggunakan kenderaan itu terlebih dahulu sebelum dijual.

Polis tidak menolak kemungkinan wang jualan digunakan untuk melepaskan gian kerana semua suspek mempunyai rekod jenayah dadah, katanya.

"Kumpulan ini dipercayai menggunakan kunci Allen yang diubah suai untuk membuka pintu van dan kereta sebelum menyambung wayar untuk menghidupkan enjin manakala motosikal dicuri dengan cara mengangkat kenderaan itu ke dalam van," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata kesemua suspek yang masih bujang direman hingga esok dan polis akan memohon supaya tempoh itu disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 411 kanun sama iaitu memiliki harta curi dan Seksyen 414 kanun sama kerana membantu menyembunyikan harta curi.

Dalam pada itu, beliau berkata kes kecurian motosikal di Kuantan setakat 26 Nov tahun ini meningkat kepada 161 kes berbanding 124 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Justeru beliau menasihatkan orang awam supaya lebih peka terhadap keselamatan kenderaan itu termasuk menggunakan kunci tambahan.

-- BERNAMA