SUNGAI BULOH: Seramai 14 'mat rempit' dibawa untuk bersama menunaikan solat Subuh berjemaah selepas ditahan dalam Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie pada Sabtu.

Kesemua penunggang motosikal itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 3 pagi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

IPD Sungai Buloh menerusi kenyataan memaklumkan, pemeriksaan sebelum itu dijalankan melibatkan 108 penunggang motosikal.

"Sebanyak 87 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selain 14 motosikal disita dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

"Antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai ekzos," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pendekatan ke arah kerohanian diterapkan kepada penunggang motosikal yang ditahan apabila kesemua mereka dibawa untuk solat Subuh berjemaah.

"Kesemua penunggang motosikal menunaikan solat Subuh di Surau Fazwina IPD Sungai Buloh diimamkan oleh Pegawai Penyiasat BSPT Sungai Buloh, Inspektor Che Hassan Ambok.

"Penerapan elemen kerohanian diterapkan kepada kesemua remaja ini bagi memberikan kesedaran dan pentingnya menghargai nyawa," katanya.

Menurutnya, pihak polis sentiasa mengutamakan kepentingan pematuhan undang-undang jalan raya.

"Polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan kelas utama jalan raya terutamanya bagi kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan serta perlindungan insurans," katanya. - Sinar Harian