KUALA LUMPUR: Tindakan menunggang motosikal melawan arus dikenal pasti antara taktik digunakan mat rempit untuk meloloskan diri daripada kepungan polis dalam operasi bersepadu di Jalan Tun Razak, awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata perbuatan itu dikesan sepanjang Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan yang bermula dari 10 malam semalam hingga 7 pagi tadi, membabitkan 102 pegawai dan anggota polis.
Advertisement
“Dalam keadaan kelam-kabut, ada yang sanggup menunggang melawan arus untuk cuba melepaskan diri, namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi.
Beliau berkata operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan lima anggota, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (16 anggota), dan empat anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mohd Zamzuri berkata keseluruhan 750 motosikal dan 80 kereta diperiksa manakala 751 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan, dengan 98 motosikal turut disita.
“Hasil pemeriksaan, dua individu ditangkap kerana positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan kini dalam proses ujian pernafasan kedua,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata pihaknya akan mempergiat operasi dari semasa ke semasa susulan aduan orang awam yang tinggi, khususnya berhubung kegiatan samseng jalanan di sekitar kawasan Menara Tabung Haji Selborn, Jalan Tun Razak.
Beliau berkata kawasan berkenaan yang berhampiran dengan hospital dan kediaman, terus menjadi tumpuan kerana dijadikan lokasi perlumbaan haram dan tempat mempamerkan motosikal yang diubah suai walaupun operasi penguatkuasaan kerap dilakukan.
“Malam ini kita lihat motosikal disita atas pelbagai kesalahan. Salah satunya adalah ubah suai motosikal, tak ada brek dan satu tangkapan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu nombor pendaftaran diubah suai,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan lima tangkapan dibuat di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 menerusi Op Mabuk, manakala dua lagi tangkapan dibuat dalam Op Khas Bersepadu di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 108 akta sama.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti merempit, selain mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol demi keselamatan semua pihak.
Sepanjang operasi, JPJ mengeluarkan 59 notis saman manakala AADK menahan dua individu yang didapati positif dadah.
-- BERNAMA