Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu akan mempertahankan jawatan yang disandangnya pada pemilihan kepimpinan baharu Pas pada Muktamar Agung ke-59 yang dijadualkan bermula 22 November depan.

Mohamad berkata beliau mempunyai visi untuk dilaksanakan jika dipilih memegang jawatan tersebut bagi penggal kedua.

Katanya, jika penggal pertama beliau memberi tumpuan kepada pengukuhan demokrasi, bagi penggal kedua beliau akan memberi fokus kepada integriti politik.

"Saya akan pertahankan jawatan Timbalan Presiden kerana saya ada visi untuk penggal kedua jika dipilih oleh perwakilan.

"Penggal lepas saya tumpu kepada pengukuhan demokrasi, memberi kefahaman kepada ahli tentang demokrasi, untuk penggal kedua saya mahu fokus kepada integriti politik," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Mohamad dipilih menduduki kerusi Timbalan Presiden pada pemilihan kepimpinan Pas pada 2010 dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan bekas Timbalan Presiden sebelum ini, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyarankan agar jawatan Timbalan Presiden Parti itu diisi oleh ulama, Mohamad menegaskan apa yang diucapkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan itu perlu dibaca dan difahami dengan betul.

"Saya harap semua ahli Pas, baca dan fahami betul-betul apa yang dikatakan oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz)," katanya.

Nik Abdul Aziz dilaporkan menyarankan agar jawatan Timbalan Presiden Parti itu diisi oleh ulama pada pemilihan kepimpinan baharu parti itu November depan.

Saranan Nik Abdul Aziz itu mendapat sokongan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang berpendapat ia lebih bertepatan dengan perjuangan Pas sebagai parti Islam.