KUALA LUMPUR: Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) mengulangi gesaannya supaya Akta Duti Hiburan 1953 dimansuhkan, dengan menyifatkan perundangan era penjajahan itu sudah lapuk dan boleh menjejaskan hasrat Malaysia untuk menjadi hab pelancongan, industri kreatif dan hiburan moden.
Presiden MATFA Tan Sri Richard Koh berkata persatuan itu menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung undang-undang era penjajahan, sambil menambah perundangan yang sudah lapuk tidak seharusnya terus wujud atau membiarkan masa depan Malaysia terdedah kepada pengaruh luar.
“Perkara ini sudah lama kami nyatakan, khususnya berhubung Akta Duti Hiburan 1953 yang diluluskan sebelum Merdeka.
“Hari ini, pada 2026, kita masih menggunakan akta berusia 73 tahun ini untuk membebankan keluarga Malaysia di dewan konsert, taman tema dan tarikan keluarga. Bagaimana Malaysia boleh menjadi negara pelancongan dan kreatif moden jika undang-undang era British ini masih wujud?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan akta itu sebagai lapuk, tidak jelas dan tidak lagi sesuai untuk mengawal selia persembahan, konsert serta hiburan keluarga.
Koh berkata pemansuhan cukai hiburan yang tinggi membolehkan Malaysia menjadi lokasi penganjuran acara besar yang menampilkan artis antarabangsa yang mungkin sebaliknya diadakan di Singapura.
Langkah itu boleh menjana berbilion ringgit untuk hotel, pusat beli-belah dan premis makanan, selain turut memberi manfaat kepada kerajaan melalui kutipan cukai yang lebih tinggi.
Beliau berharap Anwar dapat menterjemahkan kenyataannya kepada tindakan dengan memansuhkan akta berkenaan, yang menurutnya tidak lagi memenuhi kepentingan Malaysia yang merdeka dan progresif.
Peraturan yang lebih jelas dan boleh dijangka juga akan memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pelabur, pengendali serta syarikat hiburan antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi bagi penganjuran acara besar dan tarikan keluarga.
“Pada masa yang sama, kita perlu memberikan kebebasan kepada pencipta muda kita untuk berinovasi, bereksperimen dan membangunkan bentuk hiburan baharu tanpa dikongkong oleh perundangan yang sudah lapuk,” katanya.
Menurut Koh, sektor hiburan, pelancongan dan kreatif semakin saling berkait, dengan taman tema, tarikan keluarga, filem, konsert, persembahan secara langsung dan kandungan digital menjadi sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas.
Atas sebab itu, beliau berpendapat Malaysia memerlukan dasar yang menggalakkan industri berkenaan berkembang secara bersama dan bukannya peraturan yang menganggap hiburan semata-mata sebagai aktiviti yang perlu dikawal.
Semalam, Anwar berkata undang-undang era penjajahan yang menyekat kebebasan pelajar perlu dimansuhkan bagi membolehkan erti sebenar kemerdekaan direalisasikan sepenuhnya.
Anwar berkata demikian pada program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh, yang menyifatkan kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan fizikal, sebaliknya turut bermaksud memberikan ruang kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara.
-- BERNAMA