Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat bergelut dengan seorang lagi lelaki ekoran perselisihan faham di antara mereka selepas terlibat dengan kemalangan pada petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof kejadian berlaku pada kira kira jam 3.40 petang selepas pihaknya menerima maklumat dari Hospital Nilai mengenai seorang lelaki yang telah meninggal dunia.

Siasatan polis mendapati punca kematian mangsa berpunca daripada insiden perselisihan faham semasa kemalangan di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban (PLUS) berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Mangsa berusia 29 tahun itu dikatakan bergelut dengan suspek lelaki berusia awal 40-an.

Akibat pergelutan, mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Bertindak atas maklumat, suspek dan isterinya yang berusia awal 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Siti Aisyah Saad di talian 016-406 4202 atau ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.