Mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah kereta di kawasan perindustrian Anson di Jalan Kg Banjar, di sini pada pagi Sabtu.

Mangsa, J. Panjavarnam, 57, ditemui di bahagian tempat duduk pemandu di dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Sunny oleh orang awam sekitar 10.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mangsa ditemui dengan keretanya tidak berkunci dan tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal di kawasan sekeliling mendapati tiada sebarang senjata ditemui dan tiada sebarang kesan pergelutan ditemui di badan mangsa.

"Selain itu,semua barang kepunyaan mangsa dalam keadaan baik dan dompet juga masih berada pada mangsa," katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada Sabtu.

Jelasnya, mangsa difahamkan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan merupakan seorang bekas pemandu lori.

Mohd Shuhaily berkata mangsa yang berasal dari Gopeng juga telah berpisah dengan isterinya dan mempunyai tiga orang anak perempuan.

"Pemeriksaan kasar keatas seluruh badan mangsa mendapati tiada unsur -unsur jenayah dan tidak ada unsur perbuatan khianat, justeru bedah siasat akan dibuat.

"Kita masih lagi menyiasat lanjut perkara ini dan belum dapat memastikan berapa lama tempoh mayat berada dalam kenderaan berkenaan,dan kes akan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini," ujarnya.