SHAH ALAM: Polis sedang mengesan dua lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat di dalam kolah mandi bilik air di sebuah rumah, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua lelaki terbabit iaitu Ranjit Singh dan Mandeep Singh merupakan penyewa di rumah berkenaan sebelum ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerusi talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Hussein turut menasihati orang awam supaya tidak menularkan mana-mana gambar berkaitan kejadian dalam media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Hussein berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang mendapat maklumat daripada seorang lelaki warga asing bahawa terdapat mayat di dalam kolah mandi rumah yang disewakannya pada 10.58 malam, 3 Dis.

"Hasil siasatan mendapati pengadu (pemilik rumah) pernah menyewakan rumahnya di Kampung Pendamar, Klang kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun iaitu bermula Ogos 2019 hingga Oktober 2021.

"Sebelum menyewakan rumah itu kepada orang lain, pengadu telah membuat pemeriksaan di kolah terbabit dan mendapati ia telah disimen," katanya.

Hussein berkata penyewa berkenaan memberi alasan bahawa terdapat air daripada bangkai tikus yang mengalir masuk ke dalam kolah itu, dan tanpa mengesyaki apa-apa, tuan rumah itu telah menyewakan kediaman berkenaan kepada orang lain pula.

Pada November lepas, pengadu telah meminta seorang lelaki warga asing untuk membaiki bumbung rumah berkenaan dan semasa membayar gaji kepada kerja itu, lelaki terbabit memaklumkan bahawa terdapat mayat di dalam kolah bilik mandi rumah itu.

"Maklumat itu diterima daripada seorang lelaki warga asing yang telah balik ke negara asal. Bagi mengesahkan perkara ini, pengadu telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Polis bersama pasukan bomba serta unit forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan setelah simen itu dipecahkan, terdapat satu mayat dipercayai perempuan dewasa telah dijumpai," katanya.

Hussein berkata mayat itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada Rabu ini.

Beliau berkata IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bagi membantu siasatan, seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun telah ditahan dan akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Klang pada Selasa.

-- BERNAMA