MALAYSIA
Mayat dua beranak reput: Kali terakhir jiran lihat mangsa dua bulan lalu

Pemeriksaan di rumah berkenaan pada malam Isnin, mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 40 dan dua tahun. - Gambar fail
GEORGE TOWN: “Kali terakhir jiran-jiran nampak dia adalah dua bulan lalu. Tak sangka dia sudah meninggal dunia dalam keadaan seperti itu,” kata seorang jiran berusia 50-an yang enggan dikenali, berhubung wanita yang ditemui meninggal dunia bersama anak perempuannya di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir di sini, malam Isnin.
Ringkasan AI
- Seorang wanita dan anak perempuannya ditemui meninggal dunia dalam keadaan mayat telah reput di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, selepas jiran-jiran mengesan bau busuk selama beberapa hari.
- Mangsa dipercayai mengalami tekanan selepas suaminya dipenjarakan dan bekalan elektrik rumahnya dipotong, menyebabkan mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa bantuan.
- Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan mengesahkan identiti mangsa sebagai ibu dan anak berdasarkan dokumen yang ditemukan, dengan bantuan bomba untuk membuka pintu rumah.Pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 40 dan dua tahun.
“Jiran-jiran pun tidak sangka bau busuk sejak beberapa hari lalu rupa-rupanya datang dari rumahnya,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan perumahan berkenaan.
Beliau yang telah menetap di kawasan itu sejak 23 tahun lalu berkata, wanita terbabit dipercayai semakin tertekan selepas suaminya dipenjarakan beberapa bulan lalu.
Lebih menyedihkan, katanya, tekanan dihadapi wanita itu bertambah apabila bekalan elektrik di rumah sewanya dipotong akibat kegagalan membayar bil.
“Saya difahamkan suaminya ditahan polis dan kini berada di penjara. Dia pula tidak bekerja.
“Bayangkan tinggal bersama anak kecil tanpa bekalan elektrik. Bekalan makanan pun saya tidak pasti bagaimana keadaannya. Saya sangat simpati dengan nasib dua beranak itu,” ujarnya.
“Penduduk tingkat atas, bawah dan aras sama semua terhidu bau busuk yang kuat. Mereka sangka bau sampah atau bangkai haiwan dan memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri.
“Misteri bau busuk itu terjawab petang semalam apabila polis menemui mayat wanita dan anaknya di dalam bilik utama rumah berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai bau busuk dari orang awam pada jam 4.41 petang.
Katanya, sebaik pintu rumah dibuka dengan bantuan bomba, pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat reput iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 40 dan dua tahun.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kedua-dua mangsa dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami