Seorang pekerja ladang terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang berlumuran darah.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui di tepi jalan dekat Ladang Jentayu - Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 7.55 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, memaklumkan pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dan ditikam di bahagian muka kerana terdapat kesan tikaman senjata tumpul.

Katanya, mayat yang dikenal pasti sebagai lelaki warga asing itu, bagaimanapun tidak mempunyai dokumen diri.

Adzil berkata, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang melakukan siasatan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik siasatan lengkap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.