Skip to main content

Malaysia

Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan di Gat Lebuh Macallum - Polis

71718803228_LogoPDRM.jpg
ACP Abdul Rozak Muhammad berkata siasatan menyeluruh kes ini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan di kawasan lapang belakang sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata mangsa yang mengalami kecederaan di kepala ditemukan pada 12.05 tengah malam oleh anggota Balai Polis Jalan Patani yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

Advertisement

“Siasatan awal tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri bersama mayat lelaki yang dipercayai warga asing berusia lingkungan 20-an itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bedah siasat oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan punca kematian akibat kecederaan daripada hentakan objek keras dan tumpul pada bahagian kepala.

Abdul Rozak berkata siasatan menyeluruh kes ini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Suhami Mat di talian 019-2327008.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video