KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lagi nelayan yang juga tekong bot yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu ditemui terapung pada Sabtu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi  Mohd Ramli berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jarak 4.7 batu nautika dari penemuan mayat pertama berhampiran Pulau Kapas.

Katanya mangsa yang dipercayai sebagai Ja’afar Long, 66 tahun dikesan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh nelayan tempatan.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu seterusnya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi proses pengecaman dan tindakan lanjut.

Pada Khamis, mayat Baharudin Abdullah, 47 tahun ditemui  nelayan tempatan yang mengesan objek terapung.

Mangsa dikesan sekitar jarak 17 batu nautika dari Pulau Kapas kira-kira jam 1 tengahari.

Muhammad Suffi berkata ketika ini pihaknya masih meneruskan pencarian seorang lagi pemancing yang dilaporkan hilang pada Khamis.

Mangsa, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34 tahun, yang disyaki hilang berikutan penemuan bot fiber milik mangsa di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Katanya operasi pencarian diperluaskan dari perairan Kuala Terengganu hingga ke Marang.