Mayat lelaki tanpa kepala dipercayai dibaham buaya ditemukan di kolam tadahan air Sahabat 41, dekat sini, pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata mayat mangsa ditemukan pada 6.15 pagi oleh kumpulan pencari termasuk polis, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sempurna, kesan luka gigitan di kaki dan paha termasuk hilang tangan kanan dari bahu hingga ke rusuk.

BACA: Cebisan tubuh nelayan dalam perut buaya

BACA: Tulang manusia ditemukan dalam perut buaya, dipercayai milik Yosep Tesu

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Stephen Tolok, 30-an berdasarkan pengecaman oleh isteri dan rakannya melalui seluar yang dipakai Stephen.

"Kejadian berlaku pada petang semalam ketika mangsa bersama rakannya sedang menjala ikan di kolam tadahan Kilang Sahabat 41, Kampung Kembara Sakti.

"Sewaktu mangsa dan rakannya sedang menjala ikan, tiba-tiba kaki mangsa digigit di kaki kanan dan diheret ke dasar kolam, mangsa sempat menjerit minta tolong," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nasri berkata rakan mangsa yang menyaksikan kejadian segera melaporkan kepada pihak pengurusan ladang yang membuat laporan polis.

-- BERNAMA