Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki kiri ditemui terapung dalam keadaan tertiarap di kawasan perairan Paradom, Sungai Batang Rajang pagi tadi.

Keadaan mayat yang hanya berseluar dalam itu ditemui oleh orang awam di tepi sebuah bot ekspres berhampiran Jeti Nan Chong dekat sini, kira-kira jam 9.25 pagi tadi.

Ia merupakan penemuan kedua selepas mayat seorang lelaki tanpa identiti yang juga ditemui terapung di Sungai Pasai Teku dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mayat tersebut.

"Siasatan pada mayat mendapati keadaan mayat sudah kembung dan berulat ketika ditemui di lokasi kejadian.

"Malah, mayat itu juga tanpa tangan kiri dari paras bahu dan kaki kiri dari paras paha dan tiada kesan kemungkinan cedera akibat perbuatan jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan pada tubuh badan mayat mendapati ada tatu bercorak bunga dan kupu-kupu pada betis kanan mayat. - Foto Astro AWANI

Tambahnya, pemeriksaan pada tubuh badan mayat mendapati ada tatu bercorak bunga dan kupu-kupu pada betis kanan mayat.

"Sehingga kini, tiada sebarang maklumat pengenalan diri diperolehi berhubung penemuan mayat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini," katanya.

Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap sudah kembung dan berulat di lokasi. - Foto Astro AWANI

Mayat telah dihantar ke Hospital Sibu bagi urusan bedah siasat dan pihak polis meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga agar menghubungi balai polis berhampiran berhubung kejadian.