Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal akan melakukan penstrukturan semula barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri seperti mana dititahkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semalam.

Dalam sidang medianya yang pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong itu berkata, beliau mempunyai tempoh sehingga 14 hari, tetapi berjanji akan melakukannya secepat mungkin.

“Mengenai soal portfolio, memang apabila terjadi perubahan pucuk pimpinan, akan ada perubahan portfolio di mana Tok Man (Menteri Besar terdahulu Datuk Osman Sapian) akan ada team dia, saya ada team saya.

“Jadi saya akan pilih barisan ahli yang saya selesa bekerja dengan YB-YB itu, dan pastikan yang lebih penting bagaimana kita dapat membantu masyarakat menikmati segala kemudahan apa yang kita rancangkan sebelum ini,” katanya lagi.

Semalam, Osman memaklumkan bahawa Tuanku Sultan telah menitahkan agar dilakukan penstrukturan semula ke atas barisan Exco, sebagai satu syarat kepada MB yang baharu nanti.




Dalam pada itu, Dr Sahruddin, menzahirkan penghargaan kepada Osman sewaktu memimpin Kerajaan Negeri sejak Pilihan Raya Umum ke-14.

“Terima kasih kepada Datuk Osman Sapian selaku penggerak utama kami (Pakatan Harapan) di sini, bersama-sama dengan pimpinan pusat untuk pastikan bahawa negeri johor ini dapat dibawa maju ke hadapan di bawah Pakatan Harapan.

“Saya akan meneruskan segala agenda yang telah direncanakan sebelum ini,” katanya.

Dr Sahruddin berkata, akan cuba galas amanah yang diberikan kepada saya dengan sepenuh hati untuk memastikan kemajuan Johor dan yang penting sekarang ialah rakyat.