Menteri Besar, Johor Datuk Osman Sapian mendahului senarai 62 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-60, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Osman dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Turut dikurniakan SPMJ ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Majlis pengurniaan darjah dan pingat berlangsung di Istana Besar di sini.

Lima individu pula menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Amran A.Rahman, Pengarah Tanah dan Galian Johor, Mohd Halim Hasbullah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ramlee A.Rahman dan Juruiring Polis (ADC) kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, SAC Sugumaran A/L Raman.

Seramai 26 individu menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) yang tiada membawa sebarang gelaran.

Antara penerimanya ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir Mohamed Salleh Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (JBiotech), Ahmad Ma'in, Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas.

Sementara itu, seramai 29 individu menerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) antaranya Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Abdul Jalill Othman; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Muzaldin Mohamed.

Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Mohd Rafi Abdullah, Pentadbir Tanah Pontian, Norliyati Md Nor; Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Nor Azleena Abdul Rahman dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Ahmad Nazir Mohd Nasir.

Turut menerima PSI II ialah Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Mohd Riduan Md Ali, Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Zihan Ismail dan Ketua Penolong Pengarah (Khidmat Pengurusan) Majlis Agama Islam Johor, Khasanah Sufa'at @ Supaat.

-- BERNAMA