Skip to main content
Advertisement

Malaysia

MB Negeri Sembilan gesa larangan Exco masuk pejabat ditarik balik

Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Ismail (tengah) berkata arahan itu hanya disampaikan secara lisan tanpa sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan berkuat kuasa sejak semalam. -Foto Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri serta dilarang menjalankan tugas-tugas rasmi pentadbiran.

Beliau berkata arahan itu hanya disampaikan secara lisan tanpa sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan berkuat kuasa sejak semalam.

Jelasnya, arahan itu jelas berisiko menjejaskan urusan pentadbiran negeri dan menafikan hak serta kepentingan rakyat.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengkaji semula arahan tersebut dan membenarkan Exco kembali menjalankan tugas seperti biasa.

“Tapi ini arahan verbal (lisan) ya, sebab itu saya kena buat kenyataan terbuka ini. Saya menyerulah pihak berkuasa, tanpa alasan ataupun sebab-sebab tertentu dan tanpa arahan bertulis dan sebagainya, saya minta sangat dikaji semula perkara ini.

“Benarkan Exco masuk, benarkan mereka menjalankan tugas seperti biasa, dan mesyuarat Kerajaan Negeri MMK mesti diteruskan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang perintah mahkamah mahu pun arahan bertulis dikeluarkan berhubung larangan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai status kedudukan pentadbiran negeri, beliau menjelaskan bahawa semua ahli Exco sedia ada masih sah dari segi undang-undang kerana pemecatan atau pemberhentian Exco tertakluk kepada Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memerlukan nasihat serta pandangan Menteri Besar.

“Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco. Dengan itu, Exco yang sedia ada adalah sah dan sepatutnya menjalankan tugas seperti biasa.

“Mesyuarat Exco perlu diteruskan kerana banyak perkara yang dibincangkan melibatkan tuntutan, pembangunan, serta bantuan untuk rakyat.

"Jika ini tersekat tanpa alasan yang munasabah, ia merupakan satu penafian kepada hak rakyat," tambah beliau.

Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses perundangan dan mengutamakan kepentingan rakyat serta menghormati institusi diraja negeri.

Must Watch Video

Advertisement