Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Kuantan menyiasat dan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian lemas membabitkan tiga kanak-kanak di kolam takungan terbiar di kawasan bekas perlombongan bauksit baru-baru ini.

Adnan turut meminta PTG mengenal pasti kolam-kolam takungan terbiar di kawasan bekas perlombongan itu di daerah Kuantan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

"Ini selaras dengan titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan semua bekas tapak lombong bauksit yang terletak berhampiran kawasan perumahan ditimbus bagi mengelak insiden yang sama," katanya.

BACA: Ibu bapa kanak-kanak lemas di lombong bauskit lantik peguam

BACA: Lemas lombong bauksit: Arwah minta pakai telekung putih - Ibu

BACA: Tengku Abdullah titah kawasan lombong bauksit terbiar dikambus

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian surat hak milik tanah kepada 129 peneroka Felda Kota Gelanggi 4 di sini hari ini yang turut dihadiri Anggota Parlimen Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Mengulas lanjut tentang insiden itu, Adnan berkata kejadian terbabit berlaku di tanah milik persendirian, dan bukan milik kerajaan.

"Kejadian berlaku atas tanah orang, mereka keluarkan (bauksit) secara haram...mereka hanya minta atas nama Borang B dan Borang C. Maknanya untuk pindah tanah dari tanah persendirian ke tempat lain atau atas tanah kerajaan.

"Jadi kita akan minta PTG untuk siasat dan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Untuk rekod, Borang B adalah untuk permohonan memajakkan tanah, manakala Borang C pula berkaitan pengambilan tanah.

Sementara itu, Adnan turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu dua keluarga mangsa yang terlibat memandangkan satu daripada keluarga berkenaan turut mempunyai tiga orang anak kurang upaya.


Dalam kejadian 4 Feb lepas, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik iaitu Salsabila Zuhairi, 12, dan adiknya Mahathir Mohamad, 7, serta rakan mereka, Nureen Ain Juwita, 10, lemas ketika bermain di kawasan bekas lombong bauksit di taman perumahan berkenaan.

Dalam masa yang sama Adnan turut menyarankan keluarga terbabit menyaman pemilik tanah bagi menuntut keadilan. -- Bernama