WASHINGTON: Pelakon Amerika Syarikat (AS), Kaylee Hottle, yang terkenal menerusi watak Jia dalam filem blockbuster Godzilla vs Kong, dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada usia 18 tahun.
Hottle yang juga seorang individu pekak mencuri perhatian penonton apabila membawakan watak Jia, seorang anak yatim yang mempunyai hubungan istimewa dengan Kong dalam filem Godzilla vs Kong yang ditayangkan pada 2021.
Beliau kemudian mengulangi peranan tersebut dalam sekuelnya, Godzilla x Kong: The New Empire pada 2024.
Berita pemergiannya disahkan oleh bapanya, Joshua Hottle, menerusi satu siaran video di Facebook menggunakan Bahasa Isyarat Amerika (ASL).
Menurut pihak berkuasa di Frederick, Maryland, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan itu berlaku awal pagi Selasa.
Siasatan awal mendapati faktor kelajuan berlebihan dipercayai menjadi antara punca nahas berkenaan.
Sekolah Texas untuk Pelajar Pekak (Texas School for the Deaf), tempat Hottle menuntut ilmu turut mengesahkan berita itu dan menyatakan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan pelajar mereka.
Pihak sekolah turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kemalangan tersebut.
Warner Bros., syarikat yang mengedarkan francais filem popular itu, turut memberi penghormatan kepada mendiang menerusi hantaran di media sosial.
Pejabat Sheriff Daerah Frederick memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan ke lokasi kejadian di Ijamsville sekitar jam 2.50 pagi waktu tempatan.
Seorang pemandu berusia 19 tahun dibawa ke hospital untuk menerima rawatan bagi kecederaan yang tidak mengancam nyawa, manakala seorang lagi penumpang dilaporkan menolak rawatan di lokasi kejadian.
Hottle membintangi Godzilla vs Kong bersama beberapa nama besar Hollywood termasuk Alexander Skarsgård, Millie Bobby Brown dan Rebecca Hall.
Wataknya sebagai Jia, yang berkomunikasi dengan Kong menggunakan bahasa isyarat menerima pujian meluas kerana mengangkat kehadiran komuniti pekak dalam filem Hollywood.
Penampilannya dalam Godzilla x Kong: The New Empire turut melayakkan beliau menerima pencalonan Anugerah Saturn bagi kategori Pelakon Muda Terbaik dalam Filem, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara bakat muda yang semakin menyerlah di Hollywood.
Pemergian Hottle pada usia yang masih muda mengejutkan ramai peminat dan rakan industri hiburan, yang menyifatkan beliau sebagai ikon inspirasi kepada komuniti pekak serta simbol keterangkuman dalam industri perfileman global.