Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia dalam insiden tertembak di Sabah pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan Allahyarham, juga anak pelakon veteran AR Badul, sebagai seorang yang berani dan merupakan wira negara.

"Hari ini seluruh negara amat bersedih dengan pemergian Mohd Zahir yang telah meninggal dunia atas satu kemalangan program di Sabah.

"Saya berasa begitu sedih atas kehilangan yang saya anggap sebagai seorang yang berani.

"Kita faham bahawa latihan sebegitu telah selalu Allahyarham dan rakan-rakan lain lakukan, dan ini semua dilakukan bukan untuk menunjukkan kehebatan diri mereka, tetapi untuk memperkemaskan kecekapan mereka.

"Semangat yang ditunjukkan oleh Allahyarham sentiasa saya kenang dan saya doakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya kepada pemberita di Taman Perpaduan, di sini, hari ini.

Astro AWANI/AIDA AZIZ

Jenazah tiba di kediaman keluarga isterinya, Nour Shafinar Harun, kira-kira jam 5.45 pagi dengan disambut oleh ahli keluarga, sahabat handai dan pegawai tentera.

BACA: Sebelum pergi selamanya, dia macam nak jauhkan diri daripada saya - Nour Shafinar

Hujan renyai-renyai turut mengiringi majlis tahlil dan bacaan yasin yang diadakan sebelum dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian Angkatan Tentera Malaysia.

Terdahulu, jenazah Mohd Zahir tiba di Masjid Al Fatih di Kem Wardienburn, Setapak, Kuala Lumpur pada 1.48 pagi hari ini.

Ketibaan jenazah disambut kira-kira 2,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat dan anggota tentera bagi memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham disolatkan di masjid kem berkenaan sebelum dibawa ke Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

#AWANIByte: "Dia anak seni yang pergi bidang ketenteraan" - AR Badul

Pada pagi Rabu, Mohd Zahir, 36, pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang, Melaka, telah meninggal dunia ketika terbabit dalam satu demonstrasi keupayaan tentera darat di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Demonstrasi itu diadakan sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia di kem tersebut.

Susulan itu, polis menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kes tertembak ketika membuat aksi gimik sempena acara pelancaran, sehingga menyebabkan kematian Mohd Zahir.