SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang untuk membenarkan pemakaian Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang dilaksanakan di peringkat Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata ia sebagai salah satu usaha mempromosikan Batik Selangor dengan menampilkan rekaan bermotifkan corak bunga tanjung yang menjadi identiti kepada negeri tersebut.

Menurutnya, baju batik tersebut akan dipakai oleh barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga penjawat awam negeri bermula esok.

"Ini juga (pemakaian baju batik) mungkin dipakai pada waktu-waktu tertentu seperti dalam Sidang DUN seperti di Parlimen tetapi DUN masih lagi tidak menukar peraturan.

"Jadi kalau kita tukar peraturan untuk benarkan penggunaan batik, maknanya kita boleh gunakan pakaian tersebut," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Batik Selangor untuk Penjawat Awam, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin, berkata pemakaian baju batik bercorak bunga tanjung itu akan diperluaskan di peringkat akar umbi termasuk dalam kalangan ketua kampung pada masa akan datang.

Beliau percaya pemilihan motif bunga berkenaan mempunyai karakter yang unik, bersifat menyeluruh, berkecuali dan tidak berkait dengan mana-mana parti politik bagi membolehkan semua pihak menggunakan corak tersebut.

"Saya percaya motif ini akan digemari dan digunakan pada sambutan-sambutan atau pakaian rasmi dan semi kasual yang ada dalam kehidupan seharian.

"Kita juga perlukan adakan promosi dan pembudayaan kerana ia bukan setakat aspek kesenian, tapi pembudayaan iaitu dikenakan, dipakai dan digunakan sebagai karakter dan watak untuk negeri Selangor," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negerim Borhan Aman Shah berkata pemilihan motif bunga tanjung muncul hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Susulan itu, katanya, PADAT telah mengadakan kerjasama dengan pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Selangor bagi membangunkan cadangan reka bentuk Batik Selangor dengan menggunakan bunga tersebut sebagai motif utama penghasilan fesyen berkenaan.



-- BERNAMA