Skip to main content

Malaysia

MBI berhasrat Malaysia, Indonesia muncul sebagai pengeluar utama litar bersepadu

Menyertai delegasi rasmi Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama barisan EXCO Negeri dan wakil agensi Kerajaan Negeri dalam siri kunjungan hormat ke atas Ibu Dyah Roro Esti Widya Putri, Timbalan Menteri Perdagangan Republik Indonesia, H. Dr. Faisol Riza, Timbalan Menteri Perindustrian Republik Indonesia, serta wakil Danantara Indonesia yang diketuai oleh Bapak Pahala Mansury, Pengarah Urusan Hubungan Global dan Tadbir Urus, dan Bapak Re
Saipolyazan (dua, kiri) antara yang menyertai delegasi rasmi MB Selangor mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia, Ibu Dyah Roro Esti Widya Putri, di Jakarta, 8 Julai 2026. - Foto Saipolyazan
Advertisement

BANDUNG: Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) berhasrat melihat industri semikonduktor Malaysia dan Indonesia berkembang lebih pesat, termasuk muncul sebagai pengeluar utama litar bersepadu (IC), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Saipolyazan M. Yusop.

Beliau berkata syarikat semikonduktor global kini giat mengembangkan operasi mereka di Selangor, sekali gus mewujudkan peluang kerjasama dengan syarikat teknologi dari Indonesia.

"Bagi syarikat teknologi Indonesia, Selangor menawarkan dua laluan strategik. Pertama, sebagai pangkalan operasi serantau untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran ASEAN.

"Kedua, sebagai rakan strategik dalam sektor digital dan semikonduktor bagi menyokong aspirasi pembangunan teknologi Indonesia,” katanya ketika membentangkan potensi projek pelaburan di Selangor sempena SIBS@ASEAN di sini hari ini.

Sesi pembentangan bertemakan "Selangor–Indonesia Sovereign Synergy: Scaling ASEAN's Economic Future" itu bersempena edisi pertama SIBS@ASEAN 2026 Bandung yang dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd.

Saipolyazan berkata Selangor telah membangunkan ekosistem digital yang menyeluruh merangkumi aspek keterhubungan, reka bentuk semikonduktor, pembangunan bakat, pemecutan inovasi serta kerjasama industri.

Ia merangkumi infrastruktur gentian optik yang disokong kerajaan negeri, penyelesaian bandar pintar, infrastruktur perkongsian menara telekomunikasi, inisiatif keterhubungan awam serta ekosistem teknologi Cyberjaya.

"Selangor juga menempatkan hab reka bentuk litar bersepadu (IC) di Puchong dan Cyberjaya yang disokong program latihan teknikal serta pembangunan bakat yang seiring dengan keperluan industri," katanya.

 

Mengulas mengenai dua projek utama di Selangor, beliau berkata Hab Puchong (Fasa 1) yang berkeluasan 60,000 kaki persegi kini beroperasi pada kapasiti penuh.

"Ia menempatkan lebih 200 jurutera daripada 14 syarikat semikonduktor, dengan penyewa utama termasuk SkyeChip, MaiStorage dan Weeroc.

"Hab Puchong dijangka menjana pulangan ekonomi tidak langsung bernilai antara RM500 juta hingga RM1 bilion," katanya.

Mengenai Hab Cyberjaya (Fasa 2), Saipolyazan berkata hab itu menempatkan Akademi Semikonduktor Malaysia Lanjutan yang menyasarkan melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun.

"Kita kini telah menjadi sebahagian daripada rantaian nilai semikonduktor global dan pada masa yang sama, kerjasama antara Selangor dan Indonesia juga terbuka luas untuk diterokai," katanya.

Beliau berkata pertemuan antara wakil Selangor dan Indonesia bukan sekadar bertujuan membincangkan perdagangan atau mempromosikan pelaburan, sebaliknya bertujuan mengenal pasti kaedah memperkukuh rantaian nilai serantau, membuka peluang pelaburan baharu serta membentuk fasa pertumbuhan ASEAN yang seterusnya.

"Tema pembentangan saya hari ini juga bertepatan dengan trend semasa kerana ia mencerminkan hakikat bahawa masa depan ASEAN tidak akan dibina oleh pasaran semata-mata.

"Sebaliknya, ia akan dibentuk melalui kerjasama yang menghubungkan modal, infrastruktur, bakat, teknologi serta keupayaan pelaksanaan,” kata beliau.

Beliau berkata MBI Selangor selaku cabang pelaburan strategik Kerajaan Selangor berperanan menghubungkan peluang dengan rakan strategik yang berwibawa serta menterjemahkan hasrat strategik kepada pelaksanaan projek.

"Saya berharap sesi ini akan membuka ruang kepada perbincangan yang lebih praktikal mengenai bagaimana Selangor dan Indonesia dapat membina masa depan bersama serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi ASEAN," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement