Skip to main content

Malaysia

MBJ SPRM disaran fokus modal insan, perkasa kebajikan warga kerja

MBJ SPRM FOKUS MODAL INSAN, PERKASA KEBAJIKAN WARGA KERJA  Putrajaya, 27 April – Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesi 2026/2027 disaran lebih proaktif dan agresif dalam menggalas peranan sebagai ‘suara’ warga kerja, sekali gus memastikan agenda kebajikan setiap skim perkhidmatan terbela.._FB SPRM
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata MBJ merupakan platform strategik kritikal dalam merapatkan jurang antara pihak pengurusan dan pekerja demi merealisasikan visi organisasi secara kolektif. - Foto Facebook SPRM

PUTRAJAYA: Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesi 2026/2027 disaran lebih proaktif dan agresif dalam menggalas peranan sebagai ‘suara’ warga kerja, sekali gus memastikan agenda kebajikan setiap skim perkhidmatan terbela.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata MBJ merupakan platform strategik kritikal dalam merapatkan jurang antara pihak pengurusan dan pekerja demi merealisasikan visi organisasi secara kolektif.

Advertisement

“MBJ SPRM perlu mengutamakan agenda pembangunan modal insan yang menyeluruh, khususnya menyentuh aspek kritikal seperti peluang kenaikan pangkat, melanjutkan pengajian dan laluan kerjaya. 

“Pembangunan modal insan tidak seharusnya bersifat berpusat di ibu pejabat semata-mata, malah perlu diintegrasikan secara meluas ke peringkat negeri dan cawangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, selepas mempengerusikan Mesyuarat MBJ Bil 1/2026 di sini hari ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut menekankan aspek disiplin serta etika kerja dan warga SPRM digesa agar tidak culas sebaliknya mengekalkan kehadiran ke pejabat serta mematuhi peraturan ditetapkan. 

“Tiada kompromi dalam soal integriti. Tindakan tatatertib tegas menanti mana-mana pihak yang melanggar peraturan jabatan. Disiplin adalah tunjang kepada kredibiliti kita sebagai penguat kuasa,” katanya.

Beliau turut menyeru pembudayaan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan pada setiap Jumaat diteruskan selaras dengan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan menggalakkan keahlian dalam Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR).

Sementara itu, Pengerusi MBJ SPRM sesi 2026/2027 iaitu Penolong Pesuruhjaya Azizi Abdul Latif menzahirkan komitmen MBJ menjamin kesejahteraan warga SPRM dengan mengetengahkan isu utama bagi pertimbangan pengurusan tertinggi untuk manfaat bersama.

Azizi memaklumkan MBJ memikul amanah besar sebagai mekanisme yang menghubungkan pihak pengurusan dengan warga kerja peringkat akar umbi khususnya memperjelas dasar dan hasrat pengurusan tertinggi agar difahami semua peringkat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video