MALAYSIA
MBM beri amaran kepada PTPTN: Jangan banyak pusing

MBM terus konsisten menyuarakan bahawa ujrah PTPTN harus dihapuskan untuk meringankan beban peminjam. - Gambar hiasan
MAJLIS Belia Malaysia (MBM) merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkenaan cadangan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar dari keluar negara.
MBM berpendapat bahawa tindakan menyenarai hitamkan peminjam yang ingkar membayar semula pinjaman PTPTN adalah satu langkah membebankan. Namun di satu sudut ia adalah perlu khusus bagi peminjam yang benar-benar gagal menjalankan tanggungjawab melunaskan hutang sepertimana yang sepatutnya, walaupun hakikatnya berkemampuan untuk membayar.
Tindakan menyenarai hitam peminjam yang gagal hendaklah juga disusuli dengan satu pendekatan yang komprehensif di pihak PTPTN untuk mendefinisikan siapa yang dimaksudkan sebagai peminjam gagal dan ingkar ini. Ini termasuk setelah memastikan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan yang perlu dilangsaikan oleh peminjam. Oleh itu, pendefinisian hanya melalui perolehan gaji tidak mencukupi dan perlu ditimbang semula oleh pihak PTPTN.
MBM juga mengambil kesempatan ini untuk terus konsisten menyuarakan bahawa ujrah PTPTN harus dihapuskan untuk meringankan beban peminjam serta sekurang-kurangnya menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma termasuk pendidikan tinggi.
MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Pengerusi Biro Pendidikan MBM
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami