SHAH ALAM: Orang ramai digalak melunaskan tunggakan kompaun dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Kempen Pengurangan Kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang Ramadan ini bermula semalam hingga 12 Mei ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, kempen tersebut merupakan inisiatif pihak MBSA untuk menggalakkan orang ramai membayar tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil.

Katanya, jenis kompaun yang layak mendapat diakun 50 peratus adalah kesalahan mengikut Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Selain itu, katanya turut mendapat pengurangan kompaun ialah Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

"Bagi kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrin berkata untuk memudahkan orang ramai membayar tunggakan kompaun, pihak MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam, katanya.

Untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari portal MBSA.

-- BERNAMA