SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menutup beberapa jalan sempena penganjuran program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2023, Ahad ini.

Jalan yang terlibat ialah jalan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan), jalan Persiaran Perbandaran, jalan Persiaran Tasik, jalan Persiaran Masjid, jalan Persiaran Dato’ Menteri dan jalan Persiaran Damai pada Ahad ini bermula jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, penutupan sementara jalan tersebut bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan warga Shah Alam.

“MBSA menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh tersebut untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa yang diberikan pihak MBSA.

“Pihak Majlis juga memohon agar pengguna jalan raya memberikan kerjasama dan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi yang hendak ditujui,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Korporat & Perhubungan Awam MBSA di talian 03-5522 2734. - Sinar Harian