Parti MCA hari ini menggesa masyarakat Cina di Sarawak untuk memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan kepimpinannya dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Adenan merupakan seorang yang mempunyai pemikiran terbuka dan sentiasa memberi sokongan ke arah mewujudkan sebuah masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu di Sarawak.

“Anda boleh melihat bahawa di bawah kepimpinan beliau, negeri Sarawak telah menjadi lebih kuat.

“Beliau mahukan sokongan daripada masyarakat Cina. Dan beliau secara terbuka telah memohon kepada masyarakat Cina di Sarawak untuk menyokong kepimpinan beliau dan kerajaannya supaya beliau boleh membentuk kerajaan berbilang kaum.

BACA: Pilihanraya Sarawak: 'Saya apai besar Malaysia, saya akan jaga semua' - Najib

BACA: Pilihanraya Sarawak: Beri Adenan mandat lima tahun lagi - Najib

BACA: Perspektif: 'Peluru' PKR-DAP yang dituju ke BN bakal makan tuan di PRN Sarawak?

"Sebab itu saya memohon kepada masyarakat Cina di Sarawak untuk menyokong Adenan Satem, serta calon Barisan Nasional berbangsa Cina di Sarawak supaya beliau boleh terus mempunyai sebuah kerajaan berbilang kaum di Sarawak," kata Liow dalam satu sidang mdeia selepas melancarkan Majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang ke-114, di sini hari ini.

Setakat ini, BN telah menang tanpa bertanding di dua kerusi, iaitu di Bukit Sari yang ditandingi oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan di Bukit Kota yang ditandingi oleh Dr Abdul Rahman Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata seramai 1.14 juta pengundi berdaftar layak mengundi di 82 buah kawasan.

Hari mengundi awal telah ditetapkan pada 3 Mei, manakala hari mengundi adalah pada 7 Mei.

BACA: Pilihanraya Sarawak : BN sentiasa berlaku adil terhadap semua agama - Najib