BATU PAHAT: MCA akan terus mempergiatkan usaha mendekati pengundi muda dan menjadikan golongan itu berpengetahuan dalam membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah itu bertujuan memberi pemahaman kepada golongan berkenaan berhubung perkara sebenar dalam dunia politik susulan mereka mudah terdedah dan terpengaruh dengan media sosial, rakan serta saluran sumber berita yang tidak tepat.

"Saya rasa mereka ini tidak lagi terikat dengan mana-mana pengamal politik... masih samar-samar dan tidak faham serta masih lagi mencari setiap jawapan dalam politik.

"Kalau kita tidak mendampingi, kita terlepas peluang untuk mengajar mereka dan menunjukkan cara mengundi (membuat pilihan yang betul)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri kursus ahli baharu MCA di sini, malam tadi.

Sementara itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata parti itu hanya akan mengutamakan ahli baharu yang terdiri daripada individu yang berminat dengan politik dan bukannya berhasrat untuk mengejar kedudukan.

"Kita di MCA mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menjadi ahli, khususnya yang berhasrat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya.

PRN bakal diadakan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

-- BERNAMA