BENTONG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan sambutan dalam kalangan pengundi muda sebagai memberangsangkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang berlangsung hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, setakat tinjauan pagi tadi, beliau mendapati kehadiran pengundi kumpulan itu di saluran 4 dan 5 menggalakkan berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Saya sudah melawat dua buah sekolah setakat ini, sekolah pertama tadi Sekolah Kebangsaan Felda Kemasul dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi.

“Cuma dari segi sambutan daripada para pengundi, saya lihat untuk saluran orang muda pada hari ini amat memberangsangkan di kedua-dua buah sekolah.

“Kalau kita lihat para pengundi datang awal dan berbaris panjang. Kalau yang sudah-sudah (pilihan raya lepas), orang muda dia lewat (datang) sikit,  tetapi di sini saya nampak ada semangat.

“Kita lihat anak muda di saluran 4 dan 5, bersemangat pagi ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian di SMK Felda Chemomoi, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, peratusan keluar mengundi setakat jam 11 pagi tadi merekodkan 32 peratus.

Justeru, beliau berpandangan, sasaran SPR sekurang-sekurangnya untuk merekodkan 70 peratus keluar mengundi mampu dicapai.

“Insya-Allah kita lihat daripada peratusan setiap jam sekitar 10 peratus dan 11 peratus, Insya-Allah anggaran kita akan mencapai 70 peratus (keluar mengundi),” tambah beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan berlaku sedikit kekecohan ketika Ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) malam tadi, Abdul Ghani berkata, setakat ini SPR belum menerima sebarang aduan secara rasmi.

“Setakat ini kita tidak menerima secara rasmi mungkin ada sikit pertelingkahan sesama mereka.

“Tetapi saya rasa sudah dua minggu, dari segi kempen yang dibuat setakat ini, Alhamdulillah perjalanan ceramah amat baik.

“Saya rasa semangat pengundi di DUN Pelangai ini amat baik dari persaudaraan dan kekitaan. Sebab masyarakat di ketiga-tiga Felda amat baik sikap mereka,” jelas beliau.

Semalam media melaporkan sekumpulan anak muda didakwa membuat provokasi di Ceramah Grand Finale PN, yang antaranya dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.