BINTULU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menjadi medan kedua bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), menilai kecenderungan pengundi muda terhadap gabungan parti yang memerintah negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdullah Saidol berkata Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khususnya untuk Parlimen Bintulu, telah menjadi pentas sulung menilai sokongan pemilih kategori Undi 18, sejak pindaan perlembagaan berhubung perkara itu dikuatkuasakan pada 15 Dis 2021.

"(Reaksi) pengundi muda telah diuji semasa PRU15 yang lepas, di mana Datuk Seri Tiong King Sing (calon GPS untuk Parlimen Bintulu) menang besar, di saluran pengundi muda," katanya kepada Bernama dan RTM di sini.

Abdullah berkata DUN Jepak merupakan salah satu daripada empat kawasan DUN di bawah Parlimen Bintulu, menunjukkan sokongan yang tinggi dalam kalangan pengundi muda berumur di antara 18 dan 30 tahun ketika PRU15.

PBB merupakan komponen utama GPS, yang turut melibatkan tiga lagi parti tempatan Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abdullah berkata sokongan pengundi muda sewaktu PRU15, memberikan keyakinan kepada GPS dalam menghadapi PRK ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.

Talib menjadi penyandang kerusi Jepak dari sejak kawasan DUN itu pertama kali dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ketujuh (PRN7) pada 1996.

Allahyarham memenangi kerusi DUN itu untuk kali keenam dalam PRN12 Sarawak pada 2021.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Abdullah berkata tempoh berkempen yang akan berlangsung hingga 3 Nov ini, wajar menjadi ruang untuk pemilih berdaftar di DUN Jepak khususnya pengundi muda bagi mengenali Iskandar yang juga bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Sarawak.

"Saya harap pengundi muda akan mengambil kesempatan dalam masa 12 hari kempen PRK ini untuk mengenali beliau (Iskandar) dan beranilah bertanya kepada calon baru GPS ini tentang apakah pandangan, cadangan beliau untuk menjaga ataupun mengambil kira warga muda di DUN Jepak," katanya.

-- BERNAMA