Skip to main content

Sukan

Sze Fei-Izzuddin sertai kem Piala Thomas, suntikan moral buat Malaysia

Sze Fei-Izzuddin sertai kem Piala Thomas, suntikan moral buat Malaysia
Perkembangan positif berkenaan disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia hari ini. - StadiumAstro

SKUAD Piala Thomas negara menerima suntikan moral amat bermakna menjelang kempen di Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini apabila pasangan profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, secara rasmi bersetuju menyertai pasukan kebangsaan bagi menghadapi cabaran pentas dunia itu.

Perkembangan positif berkenaan disahkan Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

Advertisement

Menurut Rexy, Sze Fei-Izzuddin akan menjalani latihan bersama skuad kebangsaan satu hingga dua kali seminggu sebagai persiapan awal sebelum menyertai kem latihan penuh.

“Keutamaan kita adalah memastikan persiapan rapi dapat digerakkan lebih awal dan kombinasi terbaik dapat diperkukuh,” jelasnya.

Mengulas pemilihan akhir, Rexy menjelaskan bahawa gandingan Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Man-Tee (Man Wei Chong-Tee Kai Wun) serta Sze Fei-Izzuddin berada di kedudukan teratas berdasarkan prestasi semasa.

Beliau turut membayangkan kerjasama antara pemain profesional dan skuad kebangsaan ini berpotensi diteruskan sehingga menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

Sementara itu, jurulatih baharu beregu wanita kebangsaan, Mohd Zakry Abdul Latif, meletakkan sasaran untuk melahirkan pasangan bertaraf dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Zakry mahu merapatkan jurang antara pasangan seperti Carmen Ting–Ong Xin Yee serta Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan dengan gandingan utama negara, Pearly Tan–M. Thinaah yang kini berada dalam kelompok pasangan terbaik dunia.

Zakry yakin pengalaman melatih di peringkat universiti, termasuk pendedahan kepada sistem kiraan 15 mata yang dicadangkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mampu memberi nilai tambah kepada pendekatan latihan.

Beliau berharap kaedah latihan yang lebih fokus dan berintensiti tinggi akan membantu membentuk barisan beregu wanita lebih mantap dan kompetitif dalam tempoh terdekat.

Must Watch Video