KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah menyelesaikan masalah capaian internet di empat kawasan di Sabah terutama bagi membolehkan pelajar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, empat kawasan itu ialah Sekolah Kebangsaan Desa Permai, Tongod di Kinabatangan; Pulau Sebatik di Tawau; Kampung Sungoi Darat di Kota Marudu dan Kampung Ulu Entabuan di Tenom.

Sebagai langkah penyelesaian di Sekolah Kebangsaan Desa Permai, MCMC Sandakan telah mengadakan pertemuan bersama penyedia perkhidmatan dengan melihat sesi PdPR bersama pelajar bagi melihat masalah dihadapi selain menjelaskan perancangan MCMC untuk menyelesaikan masalah itu.

"Bagi penyelesaian jangka panjang pula, lokasi di mana sesi pengajaran dan pembelajaran seorang guru dan pelajarnya di Kampung Tulang-Tulang telah dimasukkan di dalam perancangan pelaksanaan Menara komunikasi baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.

"Kerja-kerja pembinaan menara baharu akan bermula pada awal 2022 dan dijangka siap pada Disember 2022. Sementara itu, servis menara sedia ada di Kampung Kuamut dalam pelaksanaan naik taraf kepada 4G di bawah pelan JENDELA yang djangka siap pada Disember 2021," kata MCMC.

Di Pulau Sebatik, MCMC menjelaskan pihaknya bersama penyedia perkhidmatan mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk selain melaksanakan ujian kelajuan jalur lebar, dan buat sementara penduduk dinasihatkan agar tidak mengubah tetapan 4G pada peranti bagi menikmati kelajuan Internet sedia ada.

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, sebuah menara komunikasi telah dibina di Kampung Tamag serta dijangka beroperasi awal bulan ini. Pembinaan menara berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G sekali gus mempertingkatkan capaian Internet di kawasan berkenaan.

"Ini juga akan membolehkan para penduduk di sekitar Kampung Tamang, Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay dan penduduk sekitarnya untuk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar," kata MCMC.

Mengenai masalah capaian Internet penduduk di Kampung Sungoi Darat, MCMC Sabah bersama penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu dan isu capaian internet yang lemah adalah akibat terhalang dengan bentuk muka bumi telah disiasat oleh MCMC.

"Sebagai usaha bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kampung Sungoi Darat telah disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small ApertureTerminal (VSAT)," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif VSAT dijangka dilaksanakan sekitar bulan ini hingga September, manakala bagi penyelesaian jangka panjang kawasan itu dimasukkan dalam pelan JENDELA fasa akan datang.

Penyelesaian masalah internet di Kampung Ulu Entabuan, Tenom pula, kata MCMC, dimulakan dengan pertemuan antara MCMC Keningau dan wakil penyedia perkhidmatan yang akan dijadualkan esok bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi.

"Bagi penyelesaian jangka panjang, kerja-kerja menaik taraf liputan 4G menara komunikasi di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di bawah JENDELA sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Januari 2022. Usaha ini akan dapat meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Kampung Ulu Entabuan," katanya.

-- BERNAMA