CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan bagi meneliti potensi pelaksanaan teknologi direct-to-device dan direct-to-cell yang dicadangkan syarikat penyedia internet satelit, Starlink.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi baharu itu berpotensi memperluaskan capaian internet khususnya di kawasan yang tidak mempunyai liputan menara telekomunikasi.
Menurutnya, wakil Starlink telah mengadakan pertemuan dengannya beberapa hari lalu bagi memaklumkan hasrat syarikat itu untuk melaksanakan percubaan teknologi berkenaan di Malaysia.
“Beberapa hari lalu wakil daripada syarikat Starlink telah bertemu dengan saya untuk memaklumkan hasrat mereka melaksanakan perkhidmatan direct-to-device atau direct-to-cell secara percubaan di Malaysia.
“Ini merupakan satu anjakan yang agak signifikan kerana ia membolehkan capaian internet disediakan melalui satelit bagi kawasan tertentu yang tidak mempunyai menara telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Auditorium MCMC, Cyberjaya pada Khamis.
Fahmi berkata, susulan cadangan itu, beliau telah mengarahkan MCMC menjemput syarikat-syarikat telekomunikasi untuk berbincang bersama Starlink mengenai potensi penggunaan teknologi tersebut di negara ini.
Katanya, pendekatan itu penting bagi meneroka penyelesaian yang lebih efektif dan menjimatkan kos berbanding pembinaan menara telekomunikasi baharu di kawasan kurang berpenduduk.
“Saya telah meminta MCMC menjemput syarikat-syarikat telekomunikasi untuk bersama-sama melihat masa depan yang lebih terhubung dan tidak semestinya bergantung kepada infrastruktur menara semata-mata.
“Untuk membina sebuah menara baharu, prosesnya boleh mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan sekiranya semua urusan berkaitan tanah berjalan lancar. Sebab itu kita perlu melihat kepada penyelesaian yang lebih pantas dan lebih kos efektif,” katanya.
Beliau berkata, teknologi berasaskan satelit itu boleh menjadi alternatif khususnya di kawasan yang tidak ekonomik untuk pembinaan menara telekomunikasi, sekali gus membantu memperluaskan akses internet kepada lebih ramai rakyat.
Menurut Fahmi, sekiranya percubaan tersebut berjaya, teknologi berkenaan berpotensi menyokong usaha kerajaan memperkukuh liputan komunikasi termasuk di sepanjang lebuh raya dan kawasan pedalaman.