PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini merakam percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir akaun Facebook "HuaYan The Pureland Learning Centre" berhubung hantaran gambar berbentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan berkenaan kandungan jelik melampau yang berunsur 3R (raja, agama, kaum).
Advertisement
"MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
"Orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab serta sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah khususnya melibatkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut MCMC, PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, media melaporkan, setakat ini, 21 laporan polis diterima dan 21 saksi termasuk individu yang tampil membuat laporan polis telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu proses siasatan.
-- BERNAMA