Skip to main content

Malaysia

Medan Selera 223 dilanda banjir kilat sekali lagi

Medan selera 223
JBPM Selangor menambah, banjir di lokasi mencapai kedalaman kira-kira dua meter ketika anggota tiba - Foto tangkap layar video TikTok Mar Dian Ty Nur
Advertisement

KUALA LUMPUR: Medan Selera 223 di Seksyen 51A, Petaling Jaya, dilanda banjir kilat petang ini susulan hujan lebat, menjadikannya kejadian ketiga yang berlaku di premis berkenaan dalam tempoh kurang tiga bulan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.35 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi.

Menurut kenyataan itu, jentera bomba tiba di lokasi pada 4.55 petang, kira-kira empat kilometer dari balai, dengan kekuatan 12 anggota melibatkan sebuah Jentera Bomba Penyelamat (FRT) dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

JBPM Selangor menambah, banjir di lokasi mencapai kedalaman kira-kira dua meter ketika anggota tiba.

Bagaimanapun, paras air menunjukkan trend menurun dan tiada mangsa dilaporkan terlibat atau dipindahkan.

Dalam perkembangan berkaitan, JBPM Selangor juga memaklumkan sehingga 5 petang ini, pihaknya hanya menerima empat panggilan membabitkan insiden pokok tumbang di beberapa kawasan di Selangor, tanpa melibatkan sebarang mangsa.

Menurut jabatan itu, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi situasi hujan lebat serta sebarang insiden kecemasan yang mungkin berlaku.

Terdahulu, tular rakaman siaran langsung di platform TikTok menunjukkan air keruh memenuhi kawasan medan selera itu dengan paras air mencecah bawah pinggang, sekali gus menjejaskan operasi peniaga dan pelanggan.

 

Must Watch Video

Advertisement