NATIONAL
Media perlu lebih bertanggungjawab papar simbol negara - JKOM

Ismail berkata, dengan kesedaran, kepekaan dan tindakan tegas, semua pihak dapat memastikan simbol negara terus dihormati dan dijunjung tinggi, sekali gus mengelakkan maruah negara dipermainkan. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Media dan penerbit perlu lebih bertanggungjawab, teliti serta sensitif dalam setiap paparan yang membabitkan simbol negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Merujuk isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit dalam penerbitan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Cina pada Selasa, beliau menegaskan, kawalan mutu kandungan dan semakan editorial adalah kewajipan media.
"Kita tidak berniat menghukum, tetapi menuntut ketelusan dan rasa hormat terhadap simbol kedaulatan. Jalur Gemilang bukan milik satu kaum atau satu agama - ia milik seluruh rakyat Malaysia. Ia lambang kebanggaan nasional yang wajib dipertahankan," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Rabu.
Ismail berkata, dengan kesedaran, kepekaan dan tindakan tegas, semua pihak dapat memastikan simbol negara terus dihormati dan dijunjung tinggi, sekali gus mengelakkan maruah negara dipermainkan.Akhbar berkenaan telah memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbarnya.
Mengulas lanjut, Ismail menegaskan, kesilapan sedemikian tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan maruah negara.
"Bendera bukan sekadar kain berwarna-warni. Ia simbol perpaduan, pengorbanan dan kedaulatan sebuah negara merdeka," katanya sambil menambah bahawa simbol dalam Jalur Gemilang bukan sekadar imej, sebaliknya identiti negara.
Beliau berkata, setiap warna, jalur dan lambang mempunyai makna mendalam serta termaktub dalam sejarah dan Perlembagaan Malaysia.
Ismail turut menggariskan beberapa akta yang telah digubal bagi melindungi kehormatan serta penggunaan tepat lambang kebangsaan seperti:
- Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 - melarang penggunaan lambang negara secara tidak tepat atau memalukan.
- Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 - mengawal cara lambang negara dipamerkan agar lengkap dan tidak diselewengkan.
- Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 - membolehkan tindakan diambil terhadap kandungan digital yang menimbulkan kekeliruan atau kegusaran awam.
- Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 - memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyekat atau menggantung penerbitan yang menyentuh sensitiviti negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami