Media sosial di negara ini diingatkan agar tidak memperlekehkan usaha pasukan keselamatan yang mengawal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebaliknya harus bersama-sama kerajaan mendaulatkan negara daripada sebarang pencerobohan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apa yang berlaku di perairan Sabah termasuk terbaru semalam, ia membabitkan soal maruah negara dan ia merupakan masalah bersama dan bukannya kesalahan itu diletakkan di bahu pasukan keselamatan semata-mata.

"Saya minta media sosial atau mana-mana pihak agar jangan merendah-rendahkan usaha yang dibuat ESSCom sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ataupun APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia).

"Ini masalah negara. Pasukan keselamatan kita harus diberi sokongan moral oleh semua pihak. Media sosial harus bersama dan jangan hanya pandai mengutuk sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, malam ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas insiden yang menyebabkan anggota pasukan Polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh dan Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna.

Pengarah Operasi ESSCOM Datuk Abdul Rashid Harun dilapor berkata penyerang yang menggunakan senjata berat itu membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi.

Mengulas perkara itu Ahmad Zahid berkata apa yang berlaku merupakan satu cabaran yang terpaksa dihadapi PDRM sebelum pasukan itu mengambil alih pentadbiran dan operasi ESSCOM mulai 15 Julai ini.

"Saya ingin sahkan kejadian itu merupakan satu tamparan dan pukulan terhadap PDRM sebelum ambil alih ESSCom," katanya.

Beliau berkata tindakan pihak musuh yang melakukan serangan secara gerila itu adalah sangat mencabar namun tindakan pihak musuh sedikit pun tidak melemahkan pasukan keselamatan.

Ahmad Zahid berkata pihak musuh yang terbabit sebenarnya terkenal mempunyai sifat dendam yang sangat tinggi dan dijanjikan upah yang lumayan oleh pihak tertentu untuk melancarkan serangan seperti itu.
"Masyarakat itu sebenarnya golongan yang berada pada paras kemiskinan dan mereka sebenarnya telah digula-gulakan untuk melakukan tindakan itu," katanya.

Beliau juga berkata sehingga ini nasib Konstabel Zakia Aleip yang hilang itu masih belum diketahui.