MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka terus memperkasakan mutu perkhidmatan pengayuh beca menerusi program pelesenan tahunan bagi meningkatkan profesionalisme golongan itu, sekali gus memperkukuh imej negeri sebagai destinasi pelancongan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata usaha itu turut melibatkan penambahbaikan aspek penguatkuasaan bagi memastikan pengayuh beca mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Kita kena ada satu kuat kuasa … Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diberi tanggungjawab mengenal pasti pengayuh beca yang berulang kali melakukan kesalahan, termasuk tindakan menarik balik lesen dalam tempoh 24 jam.
“Ini melibatkan imej negeri Melaka. Mereka juga perlu mematuhi aku janji yang dibuat sebelum mendapat lesen dan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan permit untuk melakukan perkara tertentu sesuka hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Taklimat Pengayuh Beca Melaka di Bukit Serindit, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah ialah Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.
Abdul Razak berkata pengayuh beca adalah antara barisan hadapan industri pelancongan kerana mereka menjadi individu pertama berinteraksi dengan pelancong yang berkunjung ke negeri itu.
Beliau berkata sebanyak 311 pengayuh beca di Melaka menerima lesen baharu selepas mengikuti taklimat dan program tahunan bagi meningkatkan pengetahuan, serta kemahiran mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada pelancong.
“Ini bagi memastikan mereka dapat menambah ilmu sebelum turun ke lapangan, terutama dalam menyambut kehadiran pelancong dan pengunjung di Melaka dengan baik serta mesra,” katanya.
Sementara itu, Shadan berkata pengayuh beca turut diberikan pendedahan mengenai aspek tatasusila, penampilan diri dan kadar caj perkhidmatan bagi memastikan mereka mematuhi standard yang ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil berat kebajikan lebih 300 pengayuh beca menerusi bantuan Aidilfitri serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai hampir RM170 bagi setiap individu.
“Perkhidmatan pengayuh beca juga telah disepadukan dalam aplikasi i-Trafik MBMB sejak setahun lepas bagi memudahkan pelancong mendapatkan perkhidmatan berkenaan, termasuk menghubungi pengayuh untuk mengambil mereka di hotel.
“Setiap beca turut dilengkapi kod respons pantas (QR) yang membolehkan pengguna mengemukakan aduan terus kepada MBMB sekiranya berdepan masalah ketika menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.
-- BERNAMA