MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menerusi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu memperuntukkan RM484,072 bagi pelaksanaan inisiatif 'Satu PBT Satu Ambulans' dalam usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kecemasan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) itu melibatkan kerjasama antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan St John Ambulans Malaysia (SJAM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.
Advertisement
Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, setiap PBT menyediakan sebuah ambulans yang diuruskan SJAM serta APM, serta ditempatkan mengikut empat zon operasi di bawah empat PBT terlibat.
"Berdasarkan rekod semasa, sebanyak 160 hingga 180 panggilan kecemasan diterima setiap bulan yang memerlukan perkhidmatan ambulans di Melaka.
"Inisiatif ini merupakan usaha proaktif kerajaan negeri dalam memastikan setiap kawasan PBT mempunyai akses kepada perkhidmatan ambulans yang lebih pantas dan efisien," katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara empat PBT berkenaan dengan SJAM dan APM, di sini, pada Selasa.
Pada majlis itu, MBMB diwakili Datuk Bandar, Datuk Shadan Othman manakala MPHTJ diwakili Yang Dipertua, Datuk Sapiah Haron memeterai MoU berkenaan bersama SJAM yang diwakili Pemerintah Agung, Datuk Lai See Ming.
MPAG dan MPJ masing-masing diwakili Yang Dipertuanya, Datuk Saifuddin Abdul Karim dan Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari memeterai MoU dengan APM yang diwakili Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsuah Muslim.
Ab Rauf berkata, satu daripada empat ambulans berkenaan direka khas bagi menyediakan perkhidmatan kecemasan untuk pesakit obesiti dengan berat badan hingga 350 kilogram yang akan diuruskan SJAM.
Beliau berkata, inisiatif 'Satu PBT Satu Ambulans' itu juga turut disokong sukarelawan Paramedik Komuniti (Parakom) yang telah ditubuhkan bagi melancarkan perkhidmatan ditawarkan.
"Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperkukuh jaringan antara agensi malah meningkatkan tahap kesiapsiagaan negeri dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"Setiap tahun kerajaan negeri akan berusaha menambah baik inisiatif 'Satu PBT Satu Ambulans' dengan menambah dua ambulans kepada dua agensi penggerak iaitu SJAM dan APM," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menerima 10 Automated External Defibrillator (AED) daripada SJAM dalam usaha memperkukuh respons awal kecemasan khususnya kes henti jantung di peringkat komuniti.
Beliau berkata, dua unit AED akan ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri manakala empat PBT menerima masing-masing dua unit mesin berkenaan.
-- BERNAMA