MELAKA: Melaka kini pesat memacu agenda pembangunan mampan dan transformasi hijau yang sangat mengagumkan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata komitmen Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah membawa perubahan kepada negeri berkenaan dengan menterjemahkan aspek kelestarian menjadi realiti.
"Visi untuk menjadikan Melaka sebagai Green Champion State yang dipasak teguh ke dalam teras Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) adalah pencapaian patut dijadikan penanda aras oleh seluruh negara.
"Kita melihat Melaka berani mengemudi pelaburan berteraskan piawaian ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus). Melaka hari ini ialah arkitek kepada inovasi ekonomi hijau, merintis pembangunan hab biojisim mampan, memperluas penggunaan tenaga solar dan mentransformasikan tadbir urus alam sekitar menggunakan teknologi pendigitalan melalui Smart Melaka Blueprint," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan Ab Rauf itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.
Arthur berkata penjagaan alam sekitar bukan beban tunggal kementerian, tetapi ia adalah amanah kolektif kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), industri, komuniti sehinggalah kepada setiap individu.
"Bagi mendepani krisis iklim ini, kita memerlukan sinar teladan. Di sinilah penganjuran Sambutan HASN peringkat kebangsaan memainkan peranan sebagai wadah penyatuan tindakan kita.
"Membawa tema Alam Sekitar, Tanggungjawab Bersama, HASN ialah cermin untuk kita menyoal diri tentang bumi yang mahu kita tinggalkan buat generasi masa depan," katanya.
Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya berkata Melaka meletakkan beberapa tumpuan utama bagi memacu kelestarian alam di negeri berkenaan yang diperincikan di bawah PSMJ 2035.
Beliau berkata antaranya dengan menyediakan Laporan Inventori Pelepasan Gas Rumah Kaca serta memperkasa sektor tenaga boleh baharu menerusi pembangunan ladang solar di Ayer Keroh, Rembia, Bemban dan Masjid Tanah, yang secara keseluruhannya berupaya menjana tenaga sekitar 102 gigawatt jam setahun.
"Insya-Allah, menjelang penghujung 2027, Melaka bakal mempunyai ladang solar hibrid pertama di negeri ini yang dibangunkan di Empangan Jus, melibatkan kawasan seluas kira-kira 122 hektar.
"Usaha ini turut diperluas menerusi inisiatif SolarMEL oleh Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar daripada projek kecil hingga berskala besar, termasuk solar bumbung kediaman," katanya.
Ab Rauf berkata antara tumpuan lain adalah membangunkan Projek Waste-to-Energy Sungai Udang, memperluas pembangunan infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik, memperkasa ruang hijau seperti Taman Seribu Bunga, SDG Park @ Sungai Melaka, Taman Rekreasi Kampung FELDA Air Kangkung dan Taman Kejiranan Pulai Indah serta memelihara khazanah alam menerusi Aspirasi Melaka Geopark.
-- BERNAMA