MELAKA: Kerajaan negeri Melaka dalam perancangan membangunkan dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di negeri itu, masing-masing satu di kawasan Nyalas di Jasin dan Kuala Linggi di Alor Gajah.

Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Zulkiflee Mohd Zin berkata pembinaan BPP baharu itu, dikemukakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, dan ia melibatkan kawasan pedalaman yang jauh dari BPP sedia ada.

Beliau berkata pembinaan BBP berkenaan, bertujuan memastikan jentera dan anggota bomba dapat tiba di lokasi kejadian seperti kebakaran atau kemalangan dalam masa yang singkat.

"Sebagai contoh, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi memang kita ada cawangan BPP terdekat iaitu di Masjid Tanah, namun jika pada musim cuti perayaan, kawasan berkenaan agak sesak dengan trafik, sehingga menyebabkan bantuan jentera tidak dapat sampai pada waktu yang sepatutnya.

"Justeru, kerajaan negeri akan berusaha mencari tapak yang sesuai dan peruntukan daripada kerajaan pusat, bagi membina dua BPP berkenaan agar perkhidmatan bomba kepada masyarakat dapat dipermudahkan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Anjuran JBPM Melaka, yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Abu Bakar Katain.

Zulkiflee berkata setakat ini, Melaka mempunyai 11 BPP melibatkan dua zon di negeri itu.

Sementara itu, Abu Bakar berkata sebanyak 70 peratus daripada 329 premis di Melaka yang ditetapkan untuk mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC), telah memiliki perakuan berkenaan setakat hari ini.

Beliau berkata premis berkenaan meliputi sembilan kategori, antaranya bangunan kerajaan, premis industri, komersial, pusat beli belah, hotel penginapan dan bangunan pejabat.

"FC berkenaan merupakan satu perakuan yang wajib ada bagi sesebuah premis, yang ditetapkan di bawah sembilan kategori berkenaan selari dengan Akta Bomba dan Penyelamat 1988 dan ia perlu diperbaharui setiap tahun. Pemilik premis diseru memastikan mereka memandang serius aspek kepatuhan memiliki perakuan berkenaan," katanya.

Abu Bakar berkata perakuan berkenaan bertujuan memastikan sesebuah premis atau bangunan, berada dalam keadaan selamat atau bebas daripada kerosakan yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

-- BERNAMA