Skip to main content

Malaysia

Melaka selesai 75 peratus aduan rakyat, kekal tarikan pelaburan industri

Ab Rauf berkata keyakinan pelabur terhadap Melaka turut dizahirkan menerusi pengembangan pelaburan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat bernilai RM5 bilion.
Ab Rauf berkata keyakinan pelabur terhadap Melaka turut dizahirkan menerusi pengembangan pelaburan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat bernilai RM5 bilion.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Melaka berjaya menyelesaikan hampir 75 peratus aduan rakyat menerusi pendekatan pentadbiran merakyat, selain terus mengekalkan daya tarikan sebagai destinasi pelaburan industri berikutan kesetiaan tenaga kerja tempatan yang tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan menangani aduan itu dicapai menerusi gerak kerja turun padang secara berterusan ke semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak kerajaan negeri menerima mandat kira-kira 36 bulan lepas.

Beliau berkata pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti keperluan masyarakat dengan lebih menyeluruh, mengambil kira Melaka mempunyai kira-kira 1.06 juta penduduk dengan kepadatan 325 orang bagi setiap kilometer persegi.

Advertisement

Katanya, setiap aduan yang diterima turut disalurkan kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengikut portfolio masing-masing, termasuk berkaitan pendidikan, pertanian dan kebajikan masyarakat.

Selain gerakan turun padang, kerajaan negeri turut melaksanakan program Hari Exco Bertemu Rakyat setiap 45 hari dengan membuka pejabat bagi membolehkan orang ramai mengemukakan masalah yang masih belum diselesaikan.

Advertisement

"Pendekatan itu diperkukuh menerusi program Sayang Rakyat di mana saya sendiri mengunjungi kampung dengan menaiki motosikal bagi meneliti permasalahan penduduk secara langsung.

"Kita bukan bekerja untuk kempen (PRN) Melaka. Kita telah bekerja sejak awal rakyat memberikan kita mandat," katanya dalam program Agenda AWANI.

Dalam pada itu, beliau berkata kesetiaan tenaga kerja tempatan yang tinggi turut menjadi antara kelebihan Melaka dalam mengekalkan pelaburan industri, termasuk daripada syarikat yang telah lama beroperasi di negeri itu.

"Terdapat sebuah kilang yang telah beroperasi selama 52 tahun di Melaka dengan kira-kira 12,500 pekerja, malah sebahagian tenaga kerjanya terdiri daripada generasi kedua dan ketiga keluarga yang sama.

"Keadaan itu mencerminkan kesetiaan pekerja tempatan terhadap sektor perusahaan, sekali gus membantu mengurangkan risiko kekurangan tenaga kerja yang boleh berlaku apabila pekerja berpindah ke kilang baharu," ujarnya.

Ab Rauf berkata keyakinan pelabur terhadap Melaka turut dizahirkan menerusi pengembangan pelaburan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat bernilai RM5 bilion serta sebuah kilang dari Jepun yang dijadual dirasmikan pada 13 Nov ini.

Beliau berkata usaha kerajaan negeri mengurangkan birokrasi dan meningkatkan prestasi perkhidmatan turut menyumbang kepada pembentukan persekitaran perniagaan yang mesra pelabur.

"Kita mengurangkan birokrasi, meningkatkan prestasi dan akhirnya menjadi sebuah negeri berimpak tinggi," katanya.

Must Watch Video

Advertisement