Skip to main content

Dunia

Tiga kes rompakan di laut dilaporkan di Selat Melaka dan Singapura pada November - ReCAAP ISC

ReCAAP ISC memaklumkan kejadian pertama berlaku pada 2 November, diikuti insiden kedua pada 4 November dan terbaharu pada 10 November. - Gambar fail
ReCAAP ISC memaklumkan kejadian pertama berlaku pada 2 November, diikuti insiden kedua pada 4 November dan terbaharu pada 10 November. - Gambar fail
Advertisement

SINGAPURA: Tiga insiden rompakan di laut dilaporkan berlaku ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Melaka dan Singapura (SOMS) pada bulan ini, menurut Pusat Perkongsian Maklumat Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal di Asia (ReCAAP ISC).

Menerusi amaran insiden yang dikeluarkan pada Rabu, ReCAAP ISC memaklumkan kejadian pertama berlaku pada 2 Nov, diikuti insiden kedua pada 4 Nov dan terbaharu pada 10 Nov.

Ketiga-tiga insiden itu berlaku berdekatan antara satu sama lain pada jarak kira-kira 3.2 batu nautika, membabitkan dua kejadian di atas kapal kargo pukal dan satu di atas kapal tangki.

Advertisement

Seorang anak kapal mengalami kecederaan dalam satu daripada insiden berkenaan, manakala tiada kecederaan dilaporkan dalam dua lagi kes.

"Dari segi kerugian, dua kapal melaporkan kehilangan alat ganti enjin, manakala tiada barangan dicuri daripada satu lagi kapal," menurut pusat itu.

Advertisement

Menurut ReCAAP ISC, insiden terbaharu itu menunjukkan lonjakan dalam laporan kejadian rompakan di laut selepas penurunan ketara dicatatkan sepanjang 10 bulan lepas.

"Dengan tiga kejadian terbaharu ini, sejumlah 28 insiden telah dilaporkan di SOMS sejak Januari 2026.

"ReCAAP ISC amat bimbang dengan peningkatan kekerapan insiden di SOMS," katanya sambil menambah semua negara pesisir di sepanjang SOMS digesa meningkatkan rondaan dan pengawasan di perairan masing-masing.

Pusat itu turut menggesa negara-negara terbabit bertindak segera terhadap laporan daripada kapal, memperkukuh penyelarasan serta berkongsi maklumat mengenai insiden dan kumpulan penjenayah bagi memudahkan penangkapan pesalah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement