Skip to main content

Politik

Ahmad Zahid yakin permasalahan di Negeri Sembilan sudah di penghujung

Ujar Ahmad Zahid, keutamaan ketika ini adalah memastikan kepentingan serta perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan. - Gambar fail/Astro AWANI
Ujar Ahmad Zahid, keutamaan ketika ini adalah memastikan kepentingan serta perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

TANGGA BATU: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin kemelut yang sedang melanda pentadbiran Negeri Sembilan ketika ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata usaha ke arah penyelesaian itu sedang dilakukan bersama kepimpinan UMNO Pusat, UMNO Negeri Sembilan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, keutamaan ketika ini adalah memastikan kepentingan serta perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan.

Advertisement

“Insya-Allah, itu sedang kami lakukan bersama kepimpinan UMNO Pusat dan kepimpinan UMNO Negeri Sembilan, bersama-sama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Dan kita berikan keutamaan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini selepas hadir Grand Finale di Dewan Undangan Negeri (DUN)Paya Rumput, di sini malam ini.

Advertisement

Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata penyelesaian permasalahan itu turut penting bagi memastikan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan dapat dilaksanakan, termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi membolehkan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan.

“Maka, kami amat yakin Tuanku juga mempunyai pertimbangan tinggi untuk memperkenankan supaya sidang khas belanjawan ini dapat diadakan dalam bulan ini juga, insya-Allah,” katanya.

Mengulas mengenai kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada, Ahmad Zahid berkata pentadbiran Negeri Sembilan dijangka dapat terus berfungsi dengan baik sekiranya sidang DUN dapat berlangsung dan belanjawan negeri diluluskan.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk barisan pentadbiran negeri dan penjawat awam penting bagi memastikan urusan kerajaan negeri terus berjalan.

“Mudah-mudahan dengan berjalan kelak sidang Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan dan belanjawan diluluskan, maka soal pentadbiran itu akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan.

“Di mana susur-susur kerajaan negeri, penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri, pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai di peringkat mukim dan sebagainya,” ujarnya.

Pada 7 November lalu, Ismail menegaskan hingga kini beliau masih berkhidmat sebagai Menteri Besar dan tidak timbul isu akan berundur daripada jawatan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement