KUALA LUMPUR: Majlis tahlil dan bacaan Yasin yang dianjurkan buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bukan sekadar medan doa buat beliau, malah menjadi cara meneruskan amalan yang begitu dekat dengan kehidupannya sepanjang hayat.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bacaan surah Yasin merupakan amalan harian Allahyarham yang tidak pernah ditinggalkan, terutama pada waktu petang sebelum Maghrib.
Menurut beliau, walaupun penglihatan Allahyarham semakin terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia tidak pernah menjadi penghalang untuk terus membaca dan menghayati surah Yasin.
“Saya sebenarnya gembira apabila kita dapat duduk bersama dan melafazkan surah Yasin kerana itulah amalan ibu saya. Sebelum Maghrib, dia akan membaca Yasin dan tidak pernah meninggalkannya. Itu memang amalan kebiasaan beliau setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada Khamis.
Mukhriz berkata, meskipun ketika kesihatannya semakin merosot, Allahyarham masih berusaha mengikuti bacaan Yasin melalui alat audio khas.
Katanya, setiap petang Allahyarham akan memasang rakaman tersebut dan mengikut bacaan yang didengarinya.
“Walaupun penglihatan beliau dalam tiga atau empat tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, beliau tetap membaca kerana sudah menghafalnya.
“Beliau juga mempunyai alat audio yang mengandungi bacaan al-Quran dan antara surah yang paling kerap didengarnya ialah surah Yasin. Sama ada duduk atau berbaring, beliau akan mendengar dan mengikut bacaan itu,” katanya.
Menurut Mukhriz, kenangan membaca surah Yasin bersama Allahyarham ketika berada di hospital turut menjadikan majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diadakan keluarga lebih bermakna.
“Saya sendiri pernah duduk bersama beliau di hospital dan membaca Yasin bersama-sama. Sebab itu apabila kita menghadiahkan pahala bacaan Yasin dan tahlil kepada bonda, saya rasa itulah yang paling beliau hargai kerana ia memang menjadi amalan hariannya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menganjurkan majlis tahlil dan bacaan Yasin sama ada secara fizikal mahupun dalam talian bagi menghadiahkan doa kepada Allahyarham.
“Saya difahamkan ada juga rakan-rakan yang menganjurkan tahlil dan bacaan Yasin secara dalam talian malam ini. Bagi pihak keluarga, kami amat menghargai setiap doa dan bacaan yang dihadiahkan buat arwah bonda,” katanya.
Majlis bacaan Yassin dan tahlil diadakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, dihadiri sekitar 400 orang yang dihadiri oleh keluarga, rakan terdekat dan orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham pada usia 100 tahun itu.